Nadi Mahir Pertanian Pintar – Minggu 9 (Keperluan Baja)
10 September 2026 | Aktiviti TerkiniKursus NADI Mahir Pertanian Pintar Minggu 9 bertajuk “Keperluan Baja” telah dilaksanakan pada 9 September 2026, bermula jam 9.30 pagi hingga 11.00 pagi. Sesi pembelajaran ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan baja dalam pertumbuhan tanaman serta keperluan nutrien bagi memastikan tanaman memperoleh zat yang mencukupi pada setiap peringkat pertumbuhan. Peserta turut diperkenalkan kepada konsep baja hidroponik atau fertigasi, khususnya penggunaan Baja A dan Baja B sebagai sumber nutrien lengkap untuk tanaman.
Sepanjang sesi pembelajaran, peserta diterangkan mengenai fungsi nutrien makro seperti nitrogen, fosforus, kalium, sulfur, magnesium dan kalsium serta kepentingannya terhadap pertumbuhan daun, akar, batang, bunga dan buah. Peserta turut mempelajari kaedah penyediaan stok Baja A dan Baja B secara berasingan bagi mengelakkan tindak balas kimia yang boleh menghasilkan mendakan dan menyebabkan sistem pengairan tersumbat. Selain itu, sesi ini merangkumi langkah penyediaan larutan baja, kawalan bacaan EC dan pH mengikut peringkat pertumbuhan tanaman serta penggunaan EC meter dan pH meter bagi memastikan kepekatan dan keasidan larutan berada pada tahap yang sesuai.
Dengan adanya program pembelajaran sepanjang hayat ini, peserta dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam mengurus keperluan nutrien tanaman secara lebih teratur dan berkesan. Pengetahuan berkaitan penyediaan baja, kawalan EC dan pH serta pengurusan media tanaman dapat membantu peserta mengaplikasikan kaedah pertanian pintar dengan lebih baik. Program ini sekali gus memperkukuh peranan NADI dalam menyediakan kemahiran praktikal kepada komuniti serta menggalakkan penerapan teknologi dan amalan pertanian moden dalam aktiviti penanaman.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: